Thursday, June 5, 2008

Hari Jumaat Dalam Kehidupan Seorang Mukmin

by Hadi Rosol

Banyak peluang untuk beribadat pada hari Jumaat, JUST GRAB THEM!!!

Hari Jumaat dalam kehidupan seorang Muslim adalah salah satu hari yang istimewa dan utama. Hal ini disebabkan oleh Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam(bahkan di Malaysia, hari Jumaat je ramai yang memakai baju ala-ala hari raya untuk solat Jumaat). Nama lain bagi hari berkenaan ialah yaumul `l-mazid (hari pemberian tambahan), kerana pada hari tersebut Allah akan memberi rahmat yang banyak kepada hamba-Nya. Segala permohonan yang diminta akan dikabulkan andainya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan “waktu mustajab.”

Jelasnya, penghulu segala hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Sebagai seorang hamba Allah yang ingin menghampirkan diri kepada Allah, dan melakukan sesuatu yang terbaik, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari yang mempunyai banyak fadilat, yang didatangkan sekali dalam seminggu dengan beribadah agar kehadiran manusia di muka bumi ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 iaitu untuk beribadah kepadanya.

Pada hari Jumaat, Allah taala mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat. Allah berfirman: Wahai malaikatKu, demi kemuliaan dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka tidak berdosa sedikitpun.

Penghulu segala hari ialah hari Jumaat. Itulah hari yang teragung di sisi Allah Taala, dan ia adalah lebih besar daripada hari raya fitrah dan korban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah ciptakan Adam a.s. Allah turunkan Nabi Adam a.s. ke bumi. Pada hari tesebut Allah mematikan Nabi Adam, dan pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.

Justeru, saya menyeru diri saya dan seluruh kaum Muslimin memanfaatkan peluang yang dianugerahkan oleh Allah untuk beramal dan membaiki diri.

p/s : Hari Jumaat dan Solat Jumaat seterusnya belum tentu tiba, entah-entah nyawa dicabut terlebih awal lagi....

No comments: