by Rifhan Rasuli
Antara isu etika perubatan yang agak sensasi di Ireland baru-baru ini adalah tentang kepercayaan Jehovah’s witness. Beberapa minggu yang lepas, kecoh di sebuah hospital kerana seorang wanita yang sedang mengandungkan bayi kembar – wanita itu adalah seorang Jehovah’s witness – enggan membenarkan kandungannya menerima pemindahan darah (blood transfusion) sedangkan kedua-dua bayinya itu dalam keadaan yang amat anaemic (anemia – kekurangan darah merah).
Doktor yang merawat wanita itu akhirnya membawa kes berkenaan ke mahkamah. Saya tidak pasti apa kesudahan kes tersebut, namun biasanya pihak doktor akan menang dan rawatan serta pemindahan darah akan tetap diteruskan atas perintah mahkamah.
Kes ini mendapat perhatian yang meluas di Ireland, dan banyak pihak menuduh wanita itu sebagai tidak bertanggungjawab serta menyalahkan ajaran yang dianutinya. Perlu diambil perhatian bahawa keengganan wanita tersebut adalah kerana kepercayaan golongan Jehovah’s witness bahawa darah adalah sesuatu yang suci dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain.
Untuk maklumat, Jehovah’s witness bukanlah Kristian dan Kristian bukan Jehovah’s witness. Pada mula saya berada di sini pun, saya menyangka Jehovah’s witness adalah sebahagian daripada ajaran Kristian. Bukan.
Isu ini menarik minat saya memandangkan pendakwah-pendakwah Jehovah’s witness pernah beberapa kali bertandang ke rumah kami, dan kami telah menghabiskan sebahagian masa untuk bertukar-tukar pandangan tentang kepercayaan kami masing-masing.
Jehovah’s witness diasaskan di Amerika Syarikat sekitar tahun 1870an. Mereka percaya kepada Tuhan yang satu, manakala Jesus (pbuh) bukanlah anak Tuhan, bukan sebagaimana yang dipegang oleh penganut Kristian. Dari aspek itu, kepercayaan mereka tidak banyak berbeza daripada Islam. Namun, mereka tidak percaya bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang rasul Allah dan penutup segala nabi. Di situ perbezaan yang ketara kelihatan.
Menurut ajaran Kristian, semua manusia yang beriman pada Jesus (pbuh) akan masuk ke syurga tanpa mengira apa yang dilakukan oleh mereka semasa hidup kerana Jesus (pbuh) menanggung semua dosa umat manusia. Bagi Jehovah’s witness pula, mereka percaya bahawa manusia yang banyak membuat kebaikan ketika hidupnya akan masuk syurga manakala bagi mereka yang jahat, setelah mati akan menjadi debu-debu beterbangan, hilang daripada kewujudan. Islam pula menyatakan sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasullullah s.a.w. akan ke syurga sementara yang derhaka akan ke neraka. Lagi, perbezaan persoalan pokok yang begitu ketara di situ.
Walau bagaimanapun, perbezaan sedemikian tidaklah sampai membuatkan kami tidak menerima kunjungan para pendakwah Jehovah’s witness itu ke rumah kami – layan sajalah, mereka pun orang yang baik-baik. Sekurang-kurangnya sikap kami terhadap mereka jauh lebih baik daripada layanan sesetengah penduduk Ireland lain yang menghalau mentah-mentah kedatangan para pendakwah Jehovah’s witness itu disebabkan isu-isu seperti kes pemindahan darah di atas dan sebagainya.
Bagi kawan-kawan yang tinggal di Malaysia yang kurang biasa dengan keadaan sebegini, jangan salah sangka pula dengan kami ya. Penerimaan kami terhadap kunjungan mereka bukanlah bermaksud kami mengiktiraf kebenaran kepercayaan mereka. Jika ditolak begitu sahaja, nampak macam kurang ajar pula. Jadi peluang yang ada itu dimanfaatkan sajalah untuk mengenali cara hidup orang lain di samping dalam masa yang sama bercerita kepada mereka tentang Islam.
Kerana Islam sudah cukup dan sempurna untuk diambil sebagai cara hidup. Allahuakbar!
Di Antara Belon-belon Busa
-
(Hakim) Di antara belon-belon busa dan angin samudera dan alunan muzika
engkau berlari ke sini sana riang teruja. Bersama matahari terbenam setiap
saat yan...
5 years ago
No comments:
Post a Comment