Thursday, May 1, 2008

Selamat Hari Pekerja

Hari Pekerja mungkin merupakan antara hari perayaan yang agak kurang mendapat sambutan berbanding perayaan-perayaan lain di Malaysia yang mempunyai banyak perayaan. Barangkali satu-satunya sebab 1 Mei masih diingati adalah kerana pada hari itu cuti umum di Malaysia. Sekurang-kurangnya nasib perayaan ini jauh lebih baik daripada hari-hari perayaan lain yang seakan-akan dilupakan terus seperti Hari Kanak-kanak Sedunia, Hari Wanita dan sebagainya.

Sempena 1 Mei ini marilah kita memanjangkan syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada pekerja-pekerja di serata dunia (profesion yang baik sahaja) walau serendah mana pun pangkat mereka. Tanpa penoreh getah, tidak bertayarlah kereta-kereta besar milik Dato’-dato’ dan pemimpin-pemimpin negara. Tanpa buruh-buruh kasar, tidak akan berdirilah bangunan-bangunan pencakar langit yang lenguh tengkuk memandangnya. Tanpa pesawah padi, tidak bernasilah dapur di rumah kita dan tanpa peneroka di ladang kelapa sawit Felda, makanlah kita lauk yang dimasak menggunakan minyak bunga matahari seperti kami di Ireland ini – mahal. Begitulah juga dengan pekerjaan-pekerjaan yang lain. Pendek kata, kolar putih atau pun biru, semuanya penting kerana setiap manusia hidup secara simbiosis – saling bergantung antara satu sama lain.

Sempena Hari Pekerja ini juga, saya ingin ceritakan sedikit perbezaan antara kesatuan sekerja di Malaysia dan di Ireland. Di Ireland, apa yang saya perhatikan adalah kesatuan sekerja sangat kuat dan teguh membela nasib ahli-ahli mereka. Sekiranya tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima, maka mereka boleh mogok. Begitulah yang pernah dilakukan oleh pemandu-pemandu Dublin Bus di sini bagi menuntut kenaikan gaji, dan peniaga-peniaga farmasi kerana membantah arahan kerajaan agar menurunkan harga ubat kerana bagi mereka, tindakan tersebut merugikan mereka. Bahkan jururawat di hospital juga pernah melancarkan mogok, tetapi tidaklah sampai mengabaikan pesakit. Mereka masih menjaga pesakit, tetapi tidak mahu bercakap dengan para doktor.

Di Malaysia… maaf, tidak banyak yang dapat saya ceritakan.

Walau bagaimanapun, marilah kita sama-sama mendoakan keamanan dan kesejahteraan buat seluruh manusia di Malaysia dan di serata dunia. Hormati sesiapa sahaja tidak kiralah sama ada mereka itu Tan Sri atau pun pencuci tandas, kerana semuanya mempunyai peranan masing-masing dalam memakmurkan muka bumi ini.

Selamat Hari Pekerja.


Rifhan Rasuli, 1 Mei, 2.42 petang (waktu Ireland)
p/s: Hari ni di Ireland takde cuti, di RCSI siap kena 6 lecture lagi.


Senandung Buruh Kasar
M. Nasir dan Kembara

Lihatlah bangunan yang tinggi menawan
Menghiasi kotaraya
Menjadi kemegahan dari zaman ke zaman
Kejayaan negara

Pandanglah aku yang bermandi keringat
Di bawah terik mentari
Bekerja dengan menghempas tulang
Mencari nafkah sehari

Aku hanyalah seorang buruh kasar
Di tengah kota besar turut merasa bangga
Kerana telah berjasa

Kerana tanpa kami tak mungkin terlaksana
Sebuah kota yang menjadi
Impian sezaman

Cukup hidup sederhana
Sedang bekerja, haaa..
Bisa bernyanyi, ketawa dan bersenda

No comments: